Perihal

Alam Kucing ialah laman yang menceritakan hal penjagaan kucing dari hujung misai hinggalah ke hujung ekor. Sekurang-kurangnya itulah yang dimahukan meskipun tidaklah begitu terperinci, tidak juga begitu lengkap tapi harap-harapnya bermanfaat juga sedikit sebanyak.

Pun begitu, ia tidak boleh dianggap sebagai perunding perubatan.

Nama pena yang saya gunakan ialah Felis Catus, iaitu nama binomial bagi kucing. Saya ialah orang paling teruk dalam bab memilih nama. Tidak disangka rupa-rupanya ia kelihatan keperempuanan. Saya lelaki. Anggap sahaja nasi sudah menjadi bubur.

Penafian

Semua nasihat daripada laman ini yang diamalkan adalah tanggungjawab sendiri.

Dasar Ulasan/Komentar

Biarlah sopan, gunalah ejaan penuh dengan tanda baca yang baik (noktah, koma, huruf besar/kecil di tempat yang sepatutnya).

Ya, memang benar saya dulu pun ejaan tunggang-terbalik. Tapi itu dulu, masa berubah maka manusia pun berubah. Mata pun semakin kelabu untuk menafsir gaya singkatan yang semakin aneh.

Urusan kecemasan hendaklah dibawa ke klinik. Betul, ubat semakin mahal. Sekurang-kurangnya dapat diberikan juga penahan sakit meskipun tidak dirawat penuh.

Saya tidak mampu menjawab semua soalan, mungkin kerana tidak faham ejaan singkatan yang terlalu dahsyat tapi lebih dari kebiasaannya ialah kerana ia di luar pengetahuan saya.

Dasar Hakcipta & Penerbitan semula

Saya gembira jika laman ini menarik perhatian anda, dan berterima kasih di atas kunjungan anda. Saya alu-alukan jika anda berkongsi mana-mana catatan melalui butang perkongsian yang disediakan.

Untuk lebih jelas, anda tidak memiliki keizinan untuk mengambil tulisan daripada laman ini dan menjalankannya di blog sendiri.

  • Anda boleh memetik 100 patah perkataan atau kurang daripada catatan asal disertai pautan kembali ke catatan asal.
  • Salinan catatan penuh tidak dibenarkan walaupun disertai pautan kembali.

Ini termasuklah ebook atau apa jua terbitan.

Peribadi & sejarah

Saya bukan doktor haiwan. Pernah berkhidmat di sebuah klinik haiwan sebagai pembantu namun itu tidaklah bererti sangat. 'Kuli', bukanlah kerjaya yang menjadi kebanggaan. Saya berpindah-randah untuk menghidupkan diri sendiri dan keluarga.

Laman ini diwujudkan pada 2008 setelah dicadangkan oleh rakan agar pengalaman saya, walau tak seberapa, dicoretkan melalui blog agar menjadi manfaat bersama.

Di samping berpeluang untuk menambah pendapatan. Siapa tidak mahu duit tambahan.

Oh, sangkaan saya meleset. Setiap hari menerima e-mel bertanyakan masalah kucing yang tidak lagi mampu dihadap, sebahagiannya menekan dan mendesak agar saya memberi balasan serta-merta.

Tulisan di laman ini juga semakin lama diciplak di sana-sini, bahkan ada yang menjualnya dalam bentuk ebook tanpa keizinan, tanpa diberikan saguhati walau satu sen.

Dalam masa sama keperluan kehidupan juga semakin menghimpit. Laman ini akhirnya menjadi beban.

Maka saya 'berehat' dari menulis untuk satu tempoh gerhana yang panjang.

Saya mohon maaf kepada pembaca terdahulu di atas ketidakmampuan saya untuk meneruskan penulisan seperti sebelumnya.

Kini Alam Kucing dihidupkan kembali. Jujurnya, saya tidak pasti untuk berapa lama. Mudah-mudahan dipermudahkan jalan.

Saya ucapkan terima kasih kepada pengunjung yang masih membaca di sini walaupun saya menghilangkan diri sebelum ini.

Ada beberapa 'peraturan' atau kaedah dalam setiap catatan:

  1. Ia bukan mengenai saya
  2. Ia bukan mengenai kucing-kucing saya
  3. Ia mengenai penjagaan kucing

Kerana itulah tidak ada gambar telatah kucing saya atau kisah khusus peribadi saya dan sebagainya, kecuali di ruangan ini.

Terima kasih kerana berkunjung ke laman ini, saya harap ia memuaskan hati anda.

Nasihat paling pendek berkenaan kucing yang boleh saya berikan ialah, beri makanan basah, jaga kebersihan bekas pasir dan basuh tangan. Insya-Allah selamat dari penyakit.