Masalah penyakit kencing manis kucing

5 ulasan
Kucing diberi suntikan insulin untuk penyakit diabetes kencing manis

Siapa sangka kucing juga terdedah kepada penyakit kencing manis, juga disebut diabetes melitus.

Diabetes sebenarnya ada dua jenis termasyhur, iaitu insipidus dan melitus. Diabetes insipidus ialah penyakit berkenaan keseimbangan air dalam tubuh kucing namun perkara ini jarang terjadi.

Maka dalam catatan ini, apabila disebut diabetes bererti saya merujuk kepada diabetes melitus atau kencing manis.

Apa yang terjadi?

Sepertimana manusia, kencing manis berlaku apabila gula dalam darah tidak boleh diserap oleh sel tubuh.

Maka gula itu dikeluarkan melalui air kencing. Dan air kencing itu berbau manis, adakalanya dihurung semut pula disebabkan kemanisannya.

Gula itu tidak diserap kerana kekurangan insulin, iaitu hormon yang ditugaskan untuk menghantar gula ke sel-sel tubuh. Insulin ini pula dikeluarkan oleh pankreas.

Apabila gula tidak diserap oleh sel tubuh, maka kucing akan melemah kerana tidak mendapat sumber tenaga, iaitu gula tersebut. Dan gula yang dimaksudkan itu ialah glukosa.

Itulah yang berlaku terhadap kucing yang kencing manis. Mereka sedang kelaparan. Makan, tapi tubuhnya lapar.

Apabila dibiarkan, keadaan tubuh kucing semakin merosot. Maka, tubuh kucing akan memakan dirinya sendiri pula.

Otot dan lemak akan dipecahkan demi mendapatkan sumber tenaga kerana tubuhnya tidak beroleh bekalan dari luar, iaitu makanan.

Tanda-tanda Kencing Manis

Petanda besar ialah kucing semakin dahaga, kencing semakin banyak dan berat badannya menurun.

Tanda-tanda lain ialah jangkitan salur kencing, disebabkan terlalu banyak gula dalam air kencingnya.

Selain itu susuk badannya pula serba tak kena atau berjalan sendeng disebabkan gangguan saraf lalu memaksa kucing berjalan menggunakan tumitnya.

Otot tubuhnya juga semakin lembik dan tidak pejal seperti biasa.

Apakah puncanya?

Kebanyakannya terjadi akibat kegemukan dan usia tua. Usia tidak boleh dihalang tapi gemuk boleh dikawal.

Ada peminat kucing yang suka kucingnya bulat montel. Gumuk, gebu, comel, kata mereka. Apalah ertinya comel jika dibayar dengan penyakit.

Terdapat juga ubat yang memberi kesan sampingan kencing manis seperti megestrol acetate yang lebih dikenali dengan jenama Ovaban.

Ovaban ini digunakan sebagai ubat penyakit kulit dan pencegah kehamilan kucing, meskipun lebih sesuai untuk anjing.

Setakat yang diketahui, kesan sampingan dari ubat itu bersifat sementara.

Masalahnya ialah, rawatannya mungkin memakan masa yang agak lama pula.

Kalau boleh, elakkan pemberian ubat ini kepada kucing. Jenamanya boleh jadi macam-macam, jadi lihat kandungan aktifnya, megestrol acetate.

Apakah cara mengesan kencing manis?

Biasanya melalui ujian darah.

Ujian ini melihat samada kucing mengalami hiperglisemia atau tidak, iaitu kadar gula dalam darah.

Macam mana hendak mengubatnya?

Ubat kencing manis biasanya diberikan dalam dua bentuk iatu pil atau suntikan.

Pil diberikan melalui suapan mulut yang berfungsi untuk merendahkan kadar gula dalam darah.

Suntikan pula ialah suntikan insulin yang biasanya diberikan dua kali sehari.

Mudah-mudahan suntikan insulin ini semakin lama semakin kurang dosnya, menjadi sekali sehari, sebelum akhirnya tak perlu disuntik langsung.

Makanannya hendaklah berasaskan rendah karbohidrat. Tak boleh beri nasi. Serat atau fiber tu tolak ke tepi. Sesetengah serat berasaskan karbohidrat.

Yang dimahukan ialah tinggi protein, rendah karbohidrat.

Biasa didengar sana-sini jenama disyorkan ialah Hill's m/d (metabolic diet). Hendak diikutkan jenama lain pun boleh asalkan rendah karbohidrat.

Anda juga perlu menghantar kucing untuk dilakukan ujian darah ulangan.

Berapa lama perlu beri suntikan insulin?

Selama mana yang perlu. Itulah jawapan paling pahit namun benar.

Ada yang perlukan masa sebulan, ada juga bertahun. Yang dikesan awal biasanya lebih singkat tempoh rawatannya.

Jika kadar gula masih tinggi, tak banyak perkara boleh dilakukan selain teruskan rawatan dan jaga makanannya.

Yang penting dengar arahan doktor berkenaan insulin. Bagi makan dahulu, kemudian baru suntik.

Bolehkah kucing sembuh dari kencing manis?

Jika penyakit dikesan awal, peluangnya untuk sembuh lebih besar berbanding dibiarkan melarat.

Kalau nampak kucing asyik minum air lebih dari biasa, bawalah ke klinik. Sihat atau sakit, belakang kira.

Dalam tempoh rawatan, jika makanannya dijaga dengan sangat baik, setaraf 5 bintang, insya-Allah kadar gulanya akan menurun hingga ke peringkat sembuh sepenuhnya.

Tapi makan masa minggu-minggulah juga. Sabar.

Bagaimana mencegah kencing manis

Pertama, makanan perlu dijaga. Kucing ialah karnivor. Metabolismenya datang dari protein, bukan karbohidrat.

Kedua, jumlah hidangan juga perlu dijaga. Tak ada maknanya gemuk dan montel. Terpulanglah.

Ketiga, bawa kucing untuk pemeriksaan berkala. Penyakit yang dikesan awal lebih mudah (dan murah) untuk dirawat.

Bab makanan mungkin tak semua orang mampu memberikan gred premium. Jika anda beri nasi gaul, kurangkanlah jumlah nasinya. Selebihnya, berserahlah. Anda sudah melakukan apa yang terdaya.

Jika anda tidak berkongsi rencana ini
seekor kucing tidak akan dapat tidur nyenyak :(

© AlamKucing.com
Sila hormati dasar Hakcipta dan Penerbitan Semula kandungan laman ini.

5 ulasan:

  1. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  2. Assalamualaikum,
    Antara makanan basah dan kering, mana satu yg lebih baik utk kucing berumur 3 bulan dan ke atas? Adakah perlu dicampur?

    BalasPadam
  3. Kucing saya yg bernama Atuq kena kencing manis.. skrg dlm pengawalan pemakanan sbb masih di peringkat awal

    BalasPadam
  4. Mcm mana nak tahu simtem dia ya

    BalasPadam
  5. How to make money from gambling - Work-to-Earn Money
    The first thing choegocasino you need to do is find งานออนไลน์ out which sportsbook will give you free bet offers. 1xbet korean For example, if you are using an online sportsbook that will give

    BalasPadam