Memahami Keperluan Air Bagi Kucing

4 ulasan

Tubuh kucing sebagaimana mamalia kecil lain terdiri daripada 60 peratus air. Air merupakan satu-satunya minuman yang perlu diminum oleh kucing tanpa perlu dipelbagaikan jenis-jenisnya.

Lazimnya kucing bukanlah peminum air yang banyak dan mereka pula menghasilkan air kencing yang pekat.

Secara purata kucing akan meminum secawan air atau 240 ml sehari namun jumlah ini boleh berubah dari hari ke hari. Faktor yang mempengaruhi pengambilan air ini termasuklah pemakanan, suhu sekitar dan tahap kegiatannya.

Kucing yang diberi makanan basah bertin sebagai hidangan utama tidak akan meminum air sebanyak yang memakan makanan kering. Ini kerana makanan bertin mengandungi lebih air berbanding makanan kering.

Apabila menghadapi cuaca panas atau selepas proses pembersihan diri menyeluruh, kucing mungkin akan meminum lebih air.

Tidak seperti manusia yang tahu untuk memelihara keairan tubuh tatkala sakit, kucing tidak meminum air secukupnya apabila mereka sakit dan cepat mengalami nyahair.

Apabila ini berlaku kucing biasanya memerlukan rawatan suntikan bendalir untuk memulihkan keairan ketika sakit kerana amatlah sukar untuk menyuruh mereka meminum air yang cukup agar kekal hidrat.

Mangkuk air perlu dibersihkan setiap hari dan perlu dibilas serta ditambah beberapa kali sehari. Anda juga perlu mengawasi pengambilan air kucing anda terutamanya apabila ia semakin tua.

Jika anda melihat kucing anda meminum lebih banyak air berbanding biasa maka ini boleh menjadi tanda amaran penyakit diabetes mellitus atau masalah ginjal.

Perlu diingatkan memberi makanan kering bererti kucing anda tidak mempunyai air yang cukup walaupun dia mempunyai capaian terhadap bekalan air yang kita berikan.

Dalam keadaan semulajadi, kucing menerima bekalan air utama dari tubuh mangsa buruannya sementara minuman sungai dan lopak hanyalah sekadar pembasah tekak sahaja.

Air yang segar

Deria rasa kucing biasanya lebih peka berbanding manusia. Ada pendapat yang mengatakan kucing gemar meminum air yang mengalir keluar dari pili kerana mereka menyukai rasa air yang lebih segar berbanding air takungan.

Jika anda mempunyai kucing yang meminta anda untuk membuka pili air maka anda tidak keseorangan. Kucing-kucing sebegini juga kadangkala menyukai aliran kolam pemancut air.

Air yang mengalir mengandungi lebih oksigen terlarut dan ini memberikan rasa air yang lebih baik.

Bahkan pemancut air dalam rumah juga ada dijual di kedai-kedai haiwan kesayangan. Atau anda boleh membina pemancut air sendiri kerana ia tidaklah begitu susah.

Tetapi berwaspadalah kerana ada sesetengah kucing yang gemar bermain dengan menampar-nampar pancuran air ini lalu membasahkan persekitaran dalam rumah.

Justeru anda perlu memikirkan kedudukan yang sesuai untuk pemancut air ini supaya tidak berhampiran dengan sumber elektrik dan lain-lain barang berharga.

Tandas dan kolam

Demi mencari air yang segar, sesetengah kucing menghasilkan tabiat yang tidak menyenangkan seperti meminum air mangkuk tandas.

Ada penggemar kucing melihatnya sebagai jenaka tetapi kelakuan ini amatlah berbahaya apatah lagi jika anda menggunakan cecair pencuci tandas.

Meskipun anda tidak menggunakan cecair pencuci, lain-lain bendasing halus masih berlegar-legar di dalam mangkuk tandas dan kucing boleh jatuh ke dalamnya sambil terkial-kial untuk memanjat keluar.

Ini biasa berlaku kepada anak kucing dan boleh diatasi dengan mudah iaitu tutuplah tudung mangkuk tandas anda agar tidak boleh dicapai oleh kucing.

Sesetengah kucing juga suka meminum air dari kolam ikan atau kolam renang. Jika kucing anda berkeliaran di luar maka perilaku ini sukar untuk diawasi.

Tetapi jangan risau kerana kadar klorin dalam kolam biasanya tidak berbahaya sementara kolam ikan pula kebanyakannya telah ditapis airnya.

Bagaimana dengan air suling?

Ada yang memberikan air suling kepada kucing tetapi sebenarnya ia hanyalah sesuai untuk kucing yang mempunyai masalah jangkitan saluran kencing.

Proses penyulingan ini membuang segala macam mineral yang terkandung di dalam air termasuklah mineral yang bermanfaat melainkan yang direka khusus sebagai minuman suling.

Kucing tak perlukan susu

Kucing biasanya menyukai susu disebabkan bau lemaknya tetapi ia sebenarnya tidak bagus kerana pencernaan kucing tidak membolehkan mereka menghadamkannya dengan baik.

Terdapat minuman rumusan susu yang dikhaskan untuk kucing di mana ia tidak mengandungi laktosa di dalam susu yang tidak boleh dihadam oleh kucing.

Susu ini boleh dihidangkan sebagai gayaan tetapi bagi saya tidak perlulah membazir kerana bendalir yang diperlukan oleh kucing hanyalah air biasa sahaja melainkan anak kucing piatu yang masih memerlukan susu.

Bekalan air terbaik

Jika mahu mengharapkan kucing meminum air dengan cukup atas kehendaknya sendiri maka harapan itu hanyalah harapan.

Ini kerana kucing mempunyai daya kehausan rendah, yakni meskipun air dalam tubuhnya tidak cukup, kucing masih tidak berasa dahaga.

Satu-satunya cara yang paling mudah dan terbaik untuk mengekalkan keairan tubuh kucing ialah dengan memberinya makanan basah.

Makanan basah mempunyai lembapan 70% - 80% berbanding makanan kering yang hanya 10% sahaja.

Kucing tidak akan mengganti baki air 60% - 70% itu melalui minuman mangkuk air atas kehendak dirinya. Perkara itu tidak akan berlaku.

Jika anda menggunakan pasir kumbah gumpal dan melihat air kencing kucing hanyalah sekadar setompok dua sebesar dua ibu jari maka itu bererti kucing anda tidak cukup air.

Itulah yang berlaku kepada kucing yang diberi makanan kering sahaja. Kucing anda tidak cukup air.

Jika anda tidak berkongsi rencana ini
seekor kucing tidak akan dapat tidur nyenyak :(

© AlamKucing.com
Sila hormati dasar Hakcipta dan Penerbitan Semula kandungan laman ini.

4 ulasan:

  1. Salam. Anak kucing saya taknak minum air tapi hanya minum susu. Saya baru start keje, jadi saya nk latih die minum air. Pagi saya bg susu, namun petang saya balik air dalam bekas tak berkurang dan die bunyi mintak susu. Saya risau die akan terbiasa dan kurang air. Mcm mana saya nk latih die minum air?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kalau umur kurang 6 minggu keinginan menyusu tu masih ada. Cuba beri makanan tin sebab itulah punca utama air untuk kucing.

      Dia minum susu bukan sebab dahaga tapi sukakan bau lemak. Dari masa ke masa kurangkanlah susu. Air tu dia akan minum sendiri. Biasanya begitulah.

      Padam
  2. Saya ada anak kucing baru 2minggu, jika saya tidak berikan susu apakah akan terjadi? Hanya air kosong

    BalasPadam
  3. Aslam. Kucing saya sakit dan tidak boleh makam minum . Macam mane nak buat dia terasa segar?

    BalasPadam