Kadangkala kucing yang rajin membersihkan diri pun agak bersusah-payah juga merapi dan mendandan bulunya sendiri.
Sesetengah kawasan tubuhnya mungkin berlaku jalinan atau simpulan bulu terutamanya bahagian yang sukar dicapai oleh kucing.
Bulu jalin atau simpul (matted fur) ini ialah bulu-bulu lusuh atau gugur yang berhimpun lalu berselirat di celah-celah bulu lain yang sedang tumbuh.
Simpulan ini kemudiannya menarik lebih banyak bulu-bulu lain dan semakin lama semakin banyak ia terkumpul sehinggalah simpulan ini menarik dan menjepit kulitnya sendiri.
Tidak ada cara lain untuk mencegahnya kecuali menyikat dan memberus bulu kucing anda dengan kerap.
Hanya dengan beberapa minit sehari ia dapat mengelak daripada berhadapan dengan masalah yang lebih memakan masa dan menyakitkan kucing di masa akan datang.
Simpulan ini akan membesar sehingga tidak dapat dikendalikan lagi seandainya ia tidak dibuang dari awal.
Kucing berbulu panjang dan sederhana panjang lebih mudah mendapat bulu simpul seperti ini berbanding kucing berbulu pendek.
Di manakah terjadinya bulu simpul
Untuk mengelakkan daripada simpulan, kita perlu menyikat dan beri tumpuan lebih pada kawasan yang cenderung untuk berlakunya simpulan.
Kawasan itu ialah bahagian ketiak, perut, belakang telinga, ekor, bawah ekor dan di belakang kaki belakangnya.
Cara menggunting bulu simpul
Malangnya kucing cenderung untuk mendapat bulu simpul yang begitu hampir dengan kulitnya. Kadang-kadang rasa geram dan teringin sahaja mahu ambil gunting dan memotong simpulan itu.
Tapi bukan begitu caranya. Cara terbaik untuk meleraikan simpulan ialah:
- Cuba sikat dahulu simpulan itu dengan sikat bersisir kasar di bahagian luar simpulan, sebelum meneruskan ke bahagian yang hampir dengan kulit untuk melonggarkan sedikit simpulan.
- Jika sikat tidak dapat disisirkan di situ, cuba kutil-kutilkan dengan jari.
- Sekiranya kucing kesakitan akibat tarikan itu, atau tiada apa perubahan pada simpulan itu, cuba selitkan sikat di celah-celah antara simpulan dan kulit kucing.
- Guntingkan bulu sepanjang sikat itu secara mendatar supaya kita tidak tersalah gunting kulitnya pula.
- Sikatkan keluar dengan berhati-hati menerusi saki-baki bulu yang telah digunting pendek tadi.
Bulu yang digunting tadi memerlukan masa seminggu atau sebulan untuk tumbuh kembali.
Biasanya kulit di bawah bulu simpul kelihatan seperti ruam dan kemerah-merahan. Ini kerana simpulan itu memerangkap kotoran dan lembapan yang merengsakan kulit.
Kadang-kadang kemerahan itu juga berlaku semasa proses melonggar dan menarik bulu simpul.
Biasanya kucing akan marah atau tidak gembira semasa kita mengerjakan kawasan simpulan jadi berhati-hatilah.
Seandainya kucing memberontak atau anda risau tidak dapat mengendalikannya maka anda boleh mendapatkan khidmat perapi atau pendandan kucing profesional.
Bulu simpul pada kucing tua dan kucing gemuk
Kebanyakan kucing berbulu pendek yang rajin membersihkan diri biasanya tidak berlaku sebarang bulu simpul pada tubuhnya.
Tapi ia tetap berlaku kepada kucing tua yang tidak begitu bermaya kerana sakit sendi, atau kucing yang terlalu gemuk yang tidak dapat mencapai bahagian tubuhnya yang lain.
Kucing tua dan kucing gemuk begini, walaupun berbulu pendek, masih memerlukan rutin dandanan yang kerap.
Bulu simpul pada kucing berbulu pendek biasanya berlaku pada bahagian akhir tulang belakang dan pangkal ekornya.
Lazimnya ia disusuli juga dengan keadaan bulu yang berminyak, kering dan menggelupas.
Kucing yang gemuk, apabila kita mula menyikat bahagian tidak dapat dicapainya, kadang-kadang akan mula menggigit atau menjilat-jilat udara.
Ini kerana bahagian itu ibarat menggeletek atau menggaru kawasan yang tidak dapat dicapainya dan itu memberi kesedapan kepadanya.
Cukur lebih senang
Tidak kiralah berbulu panjang atau pendek, cara paling mudah dan tidak menyakitkan ialah dengan mencukur kawasan itu.
Bergantung kepada kawasan di mana berlakunya bulu simpul, pencukuran ini mungkin melibatkan satu kawasan atau mungkin juga keseluruhan tubuhnya.
Mencukur boleh membawa ketidaksenangan pada kucing tapi tidaklah sesusah menyikat dan menggunting.
Jika kucing itu mengalami bulu simpul yang terlalu teruk atau sangat liar dan tidak boleh menerima sebarang sesi dandanan maka mungkin kucing perlu dibiuskan dahulu.
Namun dandanan yang melibatkan pembiusan hanya boleh dijalankan di klinik dan bukan di tempat lain. Harganya juga akan bertambah.
Berhati-hati jika mencukur sendiri kucing anda
Walaupun mudah tapi perlulah berhati-hati. Tubuh kucing ada banyak lekuk-lekuk kecil yang tidak kelihatan pada awalnya kerana kita hanya biasa melihat tubuh kucing diliputi bulu sahaja.
Begitu juga dengan kedutan kulit dan puting susu pada perutnya. Kucing jantan juga ada puting jadi jangan sampai terpotong pula putingnya.
Mesin cukur yang digunakan terlalu lama akan menjadi panas, maka biarkan ia sejuk dahulu, jika tidak nanti melompat-lompat kucing anda apabila dikenakan besi panas.
Lebih baik dicukur di dalam bilik yang tidak banyak perabot atau kain-kain baju kerana bulu-bulu yang dicukur akan berterbangan di merata tempat.
thanks
BalasPadamMallumat yang cukup baik.bagi.membantu kucing tido lebih lena. Yerima.kasih
BalasPadam