Masalah parasit seperti kutu dan tungau yang menyerang kucing memang menyusahkan. Tidak cukup dengan saiznya yang kecil, hadir pula dalam jumlah yang banyak.
Terdapat dua jenis parasit iaitu dalaman dan luaran. Parasit dalaman ialah cacing-cacing gastrousus sementara luaran pula seperti kutu dan tungau.
Anak kucing dan kucing dewasa yang merayau keluar hampir pasti akan diserang parasit sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.
Kucing yang dipelihara dalam rumah pula kurang terdedah kepada parasit-parasit yang menjengkelkan ini.
Masalah Parasit dalaman | Cacing dan kuman
Cacing dan protozoa (sel tunggal) ialah masalah yang sering berlaku kepada anak kucing.
Jika anda melihat perutnya kembung, tahinya seakan-akan hidup atau bergerak-gerak, atau terdapat biji-bijian putih di bawah ekornya maka kemungkinan ada cacing di dalam ususnya.
Di antara parasit dalaman yang banyak ditemui ialah:
- Cacing bulat
- Cacing pita
- Cacing kerawit
- Cacing rambu
- Koksidia
- Giardia
Telur cacing bulat, kerawit dan rambu boleh ditemui dengan cara memeriksa tahi kucing di bawah mikroskop.
Tapi telur cacing pita agak susah untuk melihatnya, apa yang sering dilihat hanyalah segmennya sahaja.
Tubuh cacing pita mempunyai ruas, dan ruas yang paling hujung di bahagian ekor akan terpisah apabila cukup umurnya.
Segmen yang terpisah itulah yang boleh kita temui.
Tapi itu hanya bahagian tubuhnya yang sudah tua sementara tubuh sebenar masih berada di dalam usus kucing. Menjengkelkan, kerana cacing pita boleh mencapai 6 inci panjangnya; setengah kaki tu.
Segmen ini kelihatan seperti beras semasa ia masih basah dan ditemui di bawah ekor kucing.
Apabila kering ia kelihatan seperti biji bijan dan ditemui di tempat di mana kucing itu duduk.
Merawat masalah kecacingan kucing
Ubat cacing mudah diperoleh di kedai binatang peliharaan dan berkesan terhadap beberapa jenis cacing tapi agak sukar untuk mencari yang betul-betul mujarab untuk cacing pita.
Pastikan anda membaca labelnya dengan teliti dan hendaklah diberi mengikut sukatannya berdasarkan berat kucing itu sendiri.
Kalau kurang yakin atau was-was tentang cacing apakah yang menyerang kucing anda, bawa sahaja ke klinik. Cajnya pun bukanlah mahal sekitar RM10 - RM30 sahaja termasuk kos perundingan, biasanya begitulah.
Koksidia dan giardia pula bukanlah cacing tetapi protozoa iaitu mikroorganisma bersel tunggal, tapi masih boleh dilihat di bawah mikroskop.
Kedua-duanya ialah parasit yang sering menyerang kucing tetapi giardia lebih sukar untuk dikesan.
Semua parasit gastrousus boleh menyebabkan cirit-birit namun gejala ini tidak semestinya muncul.
Kadangkala kucing menghidap cacing dan tidak ada tanda cirit-birit pun sehingga kita langsung tidak menyedarinya.
Semasa pemeriksaan fizikal rutin, doktor akan memeriksa di bawah ekor kucing untuk melihat samada terdapat segmen cacing pita atau tidak.
Sesetengah klinik akan meminta sampel tahi kucing dibawa bersama untuk pemeriksaan tapi ini bergantung kepada keadaan.
Kadang-kadang doktor juga meminta agar anda mengulangi rawatan ini beberapa hari atau dua minggu kemudian. Janganlah melenting, kerana ini bukan cubaan untuk mengenakan caj lebih.
Sesetengah kes memang memerlukan rawatan ulangan, apatah lagi bukan semua sampel tahi itu mengandungi parasit, maka pemeriksaan ulangan diperlukan. Ini perkara biasa.
Cacing tidak membawa kematian kepada kucing tetapi ia mencuri begitu banyak nutrien menyebabkan kucing kehilangan zat, dan boleh juga menyebabkan cirit-birit.
Anak kucing yang menghidapi cacing yang terlalu banyak pula akan menyebabkan kesihatannya terganggu dan tumbesarannya terbantut.
Parasit protozoa lebih berbahaya berbanding cacing jika tidak dikawal kerana ia menyebabkan kenyahairan dan cirit-birit yang teruk.
Masalah Parasit Kutu Kucing
Kutu yang bersarang pada kulit dan bulu kucing boleh menyebabkan:
- Kealahan seperti ruam kulit, menggelupas atau kelemumur.
- Penyakit kurang darah merah atau anemia.
- Cacing pita yang dibawa oleh kutu.
- Suasana rimas kepada anda dan kucing anda.
Berhati-hati apabila membeli mana-mana produk penghapus kutu di kedai. Produk yang berlabel 'binatang peliharaan' atau 'anjing', tak semestinya sesuai untuk kucing.
'Binatang peliharaan' tu binatang yang mana satu? Hamster, arnab, burung dan lain-lain pun binatang peliharaan juga.
Jadi pastikan betul-betul ianya sesuai untuk kucing terutamanya yang mengandungi permethrin sebagai bahan aktif. Itu untuk anjing, bukan untuk kucing, ya.
Merawat masalah kutu kucing
Masalah kutu memang menyusahkan tapi berita baiknya ialah ada banyak kaedah untuk menghapuskannya.
Lain produk, lainlah cara penggunaannya. Ini adalah beberapa cara yang boleh digunakan terhadap kucing:
- Sikat kutu
- Ubat sapu atau gosokan belakang leher, 'spot-on'
- Syampu
- Semburan
- Serbuk
- Pembersihan dalam dan luar rumah.
- Suapan mulut atau suntikan
- Rawatan celupan atau mandi menggunakan ramuan berkepekatan tinggi.
Suntikan dan mandi celup biasanya untuk kes yang teruk sahaja. Kalau pandai, boleh buat sendiri tapi kalau tak pernah buat apatah lagi tak pernah tengok maka lebih baik biar klinik yang uruskan.
Mandi celup ini bukan guna syampu kutu biasa, ia mengandungi racun atau bahan yang tajam atau bisa jadi berhati-hatilah.
Kebanyakan kes terutamanya yang ringan boleh diselesaikan dengan gosokan dan bersihkan rumah luar dan dalam.
Untuk ubat sapu boleh gunakan Frontline atau Revolution, meskipun agak sukar untuk mendapatkannya. Kalau guna Bexton pastikan anda tidak gemuruh kerana ini menggunakan picagari berjarum.
Kucing dalam rumah kurang dijangkiti kutu tetapi jika terlalu banyak kucing dalam rumah maka bersedialah untuk menerima jangkitan besar-besaran.
Cukup hanya seekor yang menghidap kutu, maka yang lain pun akan terkena juga tempiasnya.
Iklim di Malaysia amat sesuai untuk kutu dan tungau jadi terima sahajalah kenyataan bahawa mungkin suatu hari nanti kita terpaksa berhempas-pulas membersihkan rumah luar dan dalam selepas kucing menerima jangkitan kutu.
Hanya ada satu sahaja cara terbaik untuk memantau kehadiran kutu iaitu menggunakan sikat kutu dengan kerap.
Sikat ini akan menangkap kutu pada sisirnya bahkan memerangkap sebarang sisa kutu, yang biasanya bertompok-tompok hitam.
Butir hitam ini ialah darah kucing yang telah dihadam oleh kutu.
Jika anda mengesan kehadiran kutu maka teruskanlah menyikat untuk menangkap sebanyak-banyak kutu dengan menggunakan sikat kutu.
Kemudian mandikan kucing dengan syampu kutu menggunakan air suam. Kita akan nampak kutu melarikan diri untuk mengelak dari lemas menuju ke kepala kucing.
Jangan biarkan mereka terlepas dan masuk ke telinga kucing. Bunuh mereka semua :)
0 ulasan:
Catat Ulasan