Bagaimana Memilih dan Menempatkan Bekas Pasir Yang Sesuai

4 ulasan
Bekas pasir di bawah kabinet dapur

Jika kita hendakkan kucing menggunakan bekas pasirnya maka amat mustahak bagi kita menempatkan bekas itu di kedudukan yang sesuai di dalam rumah. Secara unggulnya kucing itu perlu berasa selesa, selamat dan tiada gangguan semasa ia membuang.

Seringkali masalah pembuangan najis terjadi akibat kucing itu tidak gembira dengan lokasi bekas pasirnya itu. Kawasan di mana kita hendak tempatkan ia boleh jadi tidak sama dengan di mana pula kucing mahu ia berada.

Lokasi Bekas Pasir

Anda perlulah mempertimbangkan kedudukan bekas pasir yang sesuai yang boleh memberikan unsur selesa, selamat dan tiada gangguan kepada kucing anda.

Tandas utama, tandas tetamu dan bilik stor merupakan lokasi yang baik untuk bekas pasir. Jika anda mempunyai bilik dobi yang khusus, ia juga boleh diletakkan di situ.

Tetapi bukan semua kucing sukakannya kerana ada yang ketakutan akibat daripada bunyi-bunyian mesin basuh lalu memilih untuk membuang di tempat lain.

Jenis Bekas Pasir

Bekas pasir tersedia dalam pelbagai bentuk dan saiz di pasaran. Kucing biasanya lebih mementingkan jenis pasir berbanding jenis bekas pasir yang kita pilih. Tetapi ada juga kucing yang cerewet terhadap jenis bekas pasirnya itu.

Terdapat dua jenis bekas pasir iaitu terbuka dan tertutup sementara binaannya pula daripada plastik. Hampir semua kucing akan berpuashati dengan bekas pasir terbuka namun setiap jenis mempunyai kelebihan dan kekurangannya sendiri.

Bekas Pasir Terbuka
Kelebihan Kekurangan
Kucing mudah masuk dan keluar Kurang kawalan bau
Mudah untuk disodok Banyak tempias pasir
Tidak perlu ruang besar Kadangkala kucing tersalah sasar dan melepas di bahagian sisi
Selesa untuk kucing bersaiz besar Sesetengah kucing gemar lebih privasi
Bekas Pasir Tertutup
Lebih kawalan bau Mungkin susah untuk kucing keluar dan masuk
Kurang tempias pasir Leceh untuk disodok
Mengelakkan situasi salah sasaran Perlu ruang lebih besar
Sesetengah kucing gemar lebih privasi Sesetengah kucing akan berasa sesak terutamanya kucing bersaiz besar

Bekas Pasir Automatik

Kini sudah ada bekas pasir elektronik yang datang dengan harga yang mahal tetapi memudahkan kerana tidak memerlukan selenggara harian.

Bekas ini mengandungi penderia elektronik yang mengesan kehadiran kucing, menyodok pasir secara automatik selepas kucing meninggalkannya lalu mengalihkan bahan buangan itu ke dalam plastik penerima.

Kita masih perlu membuang plastik itu selepas beberapa hari kemudian. Memandangkan bekas itu masih diisi dengan pasir gumpal maka kedua-dua bekas dan penyodoknya itu masih perlu dibersihkan dengan kerap.

Sebesar Manakah Bekas Pasir Yang Diperlukan?

Anda juga perlu mempertimbangkan ketinggian dinding bekas pasir kerana anak kucing dan kucing tua mempunyai kesukaran untuk melompat ke dalam bekas yang berdinding tinggi. Begitu juga halnya dengan kucing yang mengalami kecederaan.

Pastikan bekas pasir itu cukup besar untuk memenuhi keperluan kucing. Kucing anda sepatutnya boleh memusingkan badannya selain boleh mengaut dan menutup buangannya dengan mudah di dalam bekas itu. Anda mungkin perlu mendapatkan bekas yang lebih besar seiring dengan umurnya.

Laluan Masuk ke Bekas Pasir

Kucing juga perlu mencapai bekas pasir tanpa sebarang sekatan. Jika ditempatkan di dalam bilik, pastikan pintu bilik itu sentiasa terbuka. Andaikata diletakkan di dalam bilik air maka satu bentuk tabir mungkin perlu dibina supaya pasir kucing tidak dirosakkan oleh percikan air mandian.

Jumlah Bekas Yang Perlu Disediakan

Panduan mudahnya ialah mengikut jumlah kucing yang kita pelihara. Ini boleh menimbulkan masalah juga bagi mereka yang memelihara terlalu banyak kucing melainkan mereka mempunyai ruang yang luas.

Salah satu sebab kenapa kita perlukan banyak bekas ialah untuk menyebarkan bau dan buangan supaya ia tidak terlalu tertumpu kepada satu bekas sahaja.

Memelihara banyak kucing namun hanya memiliki satu bekas pasir sahaja akan menyebabkan bau dan buangan menjadi cepat menghimpun dan bertimpa-timpa. Kucing akan menjauhi bekas pasir seperti itu dan ini boleh menimbulkan masalah baru.

Walaupun anda mempunyai beberapa bekas, tidak semua kucing akan menggunakan semua bekas itu. Tetapi masih penting untuk memilikinya kerana sesetengah kucing tidak mahu pergi ke bekas yang telah digunakan oleh kucing lain.

Pasir Isian Kucing

Pada masa ini terdapat begitu banyak pilihan pasir kucing. Sebahagiannya mesra alam dan mudah dibersihkan. Pasir kucing diperbuat daripada pelbagai jenis bahan berbeza termasuklah tanah liat, kayu-kayan dan kertas berpalet.

Antara faktor yang dipertimbangkan ialah kos, kehadiran penyahbau, saiz bungkusan, mudah untuk disodok, mudah untuk dibuang, biorosot dan kesan jejak di luar bekas pasir.

Sementara itu faktor yang dinilai oleh kucing itu sendiri ialah saiz dan kelembutan butir pasir, bau (kucing lebih suka pasir tanpa bau) dan kebersihan.

Jika diberi pilihan, kebanyakan kucing akan cenderung kepada pasir gumpal. Manfaat pasir gumpal ialah air kencing dan tahinya mudah dibuang dari bekas setiap hari. Jalinannya mirip kepada tanah atau pasir di luar rumah iaitu pilihan semulajadinya.

Jika kucing anda mempunyai masalah saluran kencing dan anda mahu memantau jumlah dan kekerapan ia kencing maka gumpal lebih mudah untuk perkara ini.

Setahu saya tidak ada bukti saintifik yang menunjukkan secara khusus pasir gumpal membawa masalah kesihatan kepada kucing.

Tetapi mana-mana pasir kucing termasuklah jenis gumpal yang menghasilkan debu sememangnya memburukkan kerengsaan terhadap salur pengudaraan kucing yang telah dijangkiti penyakit pernafasan.

Justeru yang perlu dijauhi ialah pasir berdebu tidak kira apa jenis pun apatah lagi untuk kucing yang sedang mengalami penyakit pernafasan seperti asma.

Berapa Banyakkah Pasir Yang Perlu Diisi?

Kucing menggemari kedalaman pasir sekurang-kurangnya satu inci di dalam bekas dan kebanyakannya lebih suka jika lebih tinggi dari itu.

Jika aras pasir berkurang dan anda belum bersedia untuk mengosongkan bekas itu (misalnya jika anda menggunakan pasir gumpal), hanya tambahkan sahaja pasir baru ke dalam pasir sediada.

Kebersihan Bekas Pasir

Bekas pasir mesti disodok sekurang-kurangnya sekali sehari. Lebih kerap lebih bagus.

Bergantung kepada jenis pasir yang digunakan, bekas itu juga perlu dikosongkan sepenuhnya, dibersihkan dan diisi baru setiap satu atau dua minggu sekali.

Kita gemarkan bilik air yang bersih dan begitu jugalah dengan kucing kita.

Alas plastik sering digunakan untuk memudahkan proses pengosongan dan pembersihan bekas tetapi sebahagian kucing tidak sukakannya. Anda perlulah mengikut kehendak kucing dalam hal ini jika tidak ia akan menjauhinya.

Bekas yang dikosongkan hendaklah dibasuh samada dengan sabun dibilas air suam atau cuka putih dibilas air.

Curahkan cuka ke dalam bekas pasir dan biarkan 20 minit sebelum disental dan bilasan air.

Ia membuang segala bau dan kesan kotor jauh lebih baik berbanding sabun berdasarkan pengalaman peribadi walaupun agak leceh.

Produk berasaskan ammonia tidak boleh digunakan kerana air kencing mempunyai ammonia dan jika dibasuh dengannya ia hanya akan menambahkan lagi kesan bau itu.

Peluntur ialah pembasmi kuman yang baik namun perlu berhati-hati kerana tindakbalas di antara ammonia dari air kencing dan peluntur akan membebaskan gas kloramin yang menyesakkan dada melainkan anda membasuhnya di luar rumah.

Anda perlu mencairkan peluntur itu sebelum menggunakannya dan bekas pasir juga perlu dibilas semula untuk membuang saki-baki klorin yang masih ada.

Di antara kombinasi sabun dan air suam, cuka dan peluntur 1.5%, bagi saya peluntur lebih berkesan dan mudah dikendalikan. Gunakan peluntur biasa dan bukan berpewangi.

Jika anda tidak berkongsi rencana ini
seekor kucing tidak akan dapat tidur nyenyak :(

© AlamKucing.com
Sila hormati dasar Hakcipta dan Penerbitan Semula kandungan laman ini.

4 ulasan:

  1. cuka.. oh baru tau tentang tu. thank you. :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Cuka, tapi kalau berterusan akan ada kesan garis sepanjang kotak tempat cuka tu bergenang. Chlorox lebih murah /

      Padam
  2. yang paling penting, kena rajin sodok.kalau tak, biasakanlah hidung dengan aromaterapi tu.hahaha

    http://kucenmaster.blogspot.com/2015/04/cara-bagi-kucing-makan-di-kedai-makan.html#comment-form

    BalasPadam
  3. Selain dari cuka, boleh tak pakai bahan pencuci yg lain, contohnye sabun cecair dettol?

    BalasPadam