Penyakit Yang Berkaitan Dengan Kucing Tua atau Berumur

6 ulasan
Kucing menerima pemeriksaan di klinik

Walaupun kita tidak suka memikirkannya, adalah satu perkara yang baik jika kita sekurang-kurangnya mengenali apakah masalah yang boleh dihadapi oleh kucing tua.

Seperti penyakit lain, pengesanan dan cegahan awal boleh membantu mengurangkan kesan penyakit tersebut. Biasanya terdapat 6 penyakit yang sering menyerang kucing tua.

  1. Penyakit tiroid
  2. Kegagalan buah pinggang
  3. Hipertegangan
  4. Kanser
  5. Diabetes mellitus
  6. Keradangan usus

Hipertiroidisme

Penyakit ini menyebabkan berat badan kucing anda menyusut walaupun selera makannya bertambah. Kucing juga akan mengambil air secara berlebih-lebihan dan menjadikannya serba gelisah.

Kadar degupan jantung juga meninggi atau tidak sekata, kadangkala muntah-muntah dan cirit-birit.

Ia banyak menyerang kucing tua dan jika tidak dirawat jantungnya akan rosak lalu membawa kematian. Penyakit ini disebabkan ketumbuhan pada kelenjar tiroid di lehernya.

Kelenjar inilah yang menghasilkan hormon yang mengawal metabolisme dan lain-lain fungsi organ. Apa yang berlaku ialah kelenjar ini mengeluarkan terlalu banyak hormon tiroid.

Penyakit ini dikesan melalui ujian darah dan dirawat samada melalui pembedahan atau radiasi untuk buang tisu yang bermasalah.

Dalam kebanyakan kes, kucing boleh dirawat dan sembuh dengan baik asalkan dibawa ke klinik dengan segera.

Kegagalan Buah Pinggang atau Renal Kronik

Penyakit ini akan melumpuhkan sedikit demi sedikit fungsi buah pinggang seperti membersihkan darah, menghasilkan air kencing dan kawalan keseimbangan bendalir dalam tubuh kucing.

Kucing akan minum air dengan kadar yang banyak, kencing lebih banyak dan berat badan semakin berkurangan.

Jika penyakit berlarutan, kucing akan menjadi semakin kurus, kehilangan banyak air dan menghasilkan bau busuk dalam mulut.

Kita boleh mencegah penyakit ini dari awal dengan memberikan kucing anda diet yang baik (diet untuk kucing tua) serta menyediakan air yang segar dan bersih.

Buah pinggang ialah organ yang tidak ada penjanaan tisu, jadi jika ianya rosak, penyakit akan terus berlarutan.

Jika penyakit ini telah bermula, prosesnya boleh dilambatkan dengan kawalan diet, bendalir dan rawatan lain. Namun perlu diingat, ia hanya untuk melambatkan sahaja, dan tidak lagi boleh disembuhkan.

Ujian darah boleh dilakukan untuk mengesan penyakit ini, tetapi masalahnya dalam kebanyakan situasi ini hanya dikesan setelah 50% fungsi buah pinggang itu telah hilang.

Saya tidak nampak penyelesaian yang lebih baik melainkan pencegahan awal. Lagipun ia cukup mudah, iaitu diet yang baik, dan air yang bersih.

Hipertegangan/Hipertensi

Bahasa paling senang ialah tekanan darah tinggi. Penyakit ini biasanya berlaku seiring dengan kedua-dua penyakit kelenjar tiroid dan buah pinggang di atas.

Ujian tekanan darah kucing juga agak sukar dilakukan, disebabkan oleh kucing kebiasaannya akan tertekan setiap kali dibawa ke klinik, menyebabkan tekanan darahnya meningkat dengan sendirinya.

Selalunya penyakit ini dirawat dengan mengawal penyakit utama yang menyebabkannya.

Contohnya tekanan darah tinggi berlaku disebabkan adanya penyakit buah pinggang, maka kawalan terhadap penyakit buah pinggang akan merawat tekanan darah tinggi itu secara tak langsung. Atau dirawat dengan menggunakan pil.

Kanser

Pada masa kini, kucing hidup lebih lama berbanding 30-40 tahun dahulu, dan ini meningkatkan berlakunya kanser.

Pelik jugakan, apabila kualiti hidup semakin meningkat, kemungkinan menghidap penyakit yang lebih bahaya juga turut meningkat.

Kanser, puncanya tidak begitu diketahui samalah seperti yang berlaku kepada manusia. Puncanya masih belum jelas, namun teknologi juga semakin meningkat untuk menghadapi penyakit ini, walaupun bukan sepenuhnya.

Rawatan kanser adalah seperti kemoterapi, pembedahan, radiasi dan immunoterapi. Menghadapi kanser adalah sukar dan rawatan yang ada hanyalah untuk memanjangkan hayat dan mengekalkan kualiti hidupnya sebaik mungkin.

Diabetes mellitus

Atau dikenali sebagai kencing manis. Kucing yang menghidapi kencing manis tidak dapat mengendalikan glukosa (gula) dengan baik, yang merupakan sumber tenaga utama bagi tubuh.

Kucing itu akan makan dan menghasilkan gula dalam badan, tetapi gula itu tidak diserap oleh badan.

Ini menyebabkan kucing kelaparan walaupun dia telah makan. Tanda-tanda penyakit ini adalah hampir sama seperti penyakit buah pinggang.

Kucing mempunyai selera makan yang tinggi, minum air dengan banyak, kencing dengan banyak dan berat badan menurun.

Kebanyakan kucing perlu diberikan suntikan insulin sebanyak 2 kali sehari. Ini kerana penyakit ini disebabkan oleh kekurangan insulin yang dihasilkan oleh pankreas.

Insulin inilah yang diperlukan oleh tubuh untuk menyerap glukosa tersebut.

Penyakit keradangan usus

Jika anda mendengar ada orang bercakap tentang IBD maka mereka sedang bercakap tentang ini. Bahasa Inggerisnya inflammatory bowel disease, IBD.

Penyakit ini menyerang perut atau usus dan biasanya kucing akan mengalami muntah atau cirit-birit yang tidak dapat disembuhkan dengan rawatan biasa.

Ujian diberikan samada menggunakan endoskop (tiub disalurkan ke sistem penghadaman) atau pembedahan.

Rawatan biasanya diberikan untuk meredakan keradangan, mengawal jangkitan dan selalunya, ubatan yang diberi dalam tempoh jangka masa panjang.

Mencegah lebih baik daripada merawat

Jika anda membaca satu-persatu penyakit yang disebut di sini, ada satu persamaan yang ketara iaitu kesemuanya memerlukan rawatan yang panjang, kecuali penyakit tiroid atau hipertiroidisme (itupun jika dirawat awal dan tidak melarat).

Rawatan memerlukan ubat-ubatan dan disusuli beberapa lawatan ke klinik. Ini semua akan memakan belanja dan masa anda, di samping memberikan tekanan kepada hidup anda.

Seboleh-bolehnya saya tidak mahu anda melalui semua ini kerana ia bukanlah tempoh yang mudah.

Jika anda menjaga makanan dan minumannya maka 60% risiko menghidapi penyakit-penyakit ini sudah dapat dikurangkan, kecuali kanser dan tiroid kerana puncanya tidak diketahui.

Begitu juga dengan pemeriksaan kesihatan tahunan. Pengesanan awal jauh lebih menjimatkan dan peluang untuk disembuhkan juga tinggi.

Makanan, minuman, kebersihan dan pemeriksaan tahunan itu murah sementara ubat dan rawatan itu mahal.

Jika anda tidak berkongsi rencana ini
seekor kucing tidak akan dapat tidur nyenyak :(

© AlamKucing.com
Sila hormati dasar Hakcipta dan Penerbitan Semula kandungan laman ini.

6 ulasan:

  1. yo kucing pun ade penyakit macam manusia,semoga kita sentiasa dalam rahmat allah dan dijauhi dari penyakit2 itu semua,amin

    BalasPadam
  2. cane ek???kucing saye dia susah nak bernafas...tetibe je...pastu selera makan kurang.dia mcm kena flu.tanye dr pon dia ckp kena flu.tapi x baek2 lagi...da lebeh 3 mggu...apekah penyakit bliau???

    BalasPadam
  3. helo...nak tanya pasal kucing sayer..jantan umur 1 tahun setengah kucing jenis turkish angora...dia memang jenis pendiam dan x banyak mengiau...tp lately,dia selalu mengiau dan kurang aktif...selera makan pun kurang..tetapi yer still makan....tolog jelaskan ....

    BalasPadam
  4. Kucing selalunya mendapat penyakit dari persekitaranya. Jika kotor dan dan beracun boleh mengundang penyakit dan mati.
    Contoh, anda atau jiran sembur racun untuk menghapuskan lalang atau rumput dirumah. Ini mengundang maut kepada kucing.
    Ini kerana, pada masa tertentu kucing akan seperti memakan rumput. Ini adalah tabiat normal kucing untuk memuntahkan diri sendiri untuk mencuci perutnya.
    Jika rumput itu beracun. Kucing anda akan mati keracunan.TQ

    BalasPadam
  5. saya rasa kucing saya menghidap Chronic renal failure sebab kesemua tanda2 tersebut ada....saya dh bawa jumpa dr tapi dr xdpt nak detech sakit apa....tp kucing saya mmg terlalu tua umur 14tahun...selera mkn bertambh, tp badan semakin kurus tinggal tulang...mulut berbau busuk dan air liur keluar semasa mengunyah...apa diet yg saya boleh berikan? saya dh cuba berikan mknan yang lembut (tidak biskut) tapi die seperti tak kenyang..

    BalasPadam
    Balasan
    1. dh try buat blood test ke..kdg2 karies gigi jugs punca

      Padam