Sikat dan berus kucing hadir dalam pelbagai saiz, bentuk dan warna. Peralatan yang anda gunakan bergantung kepada panjang bulu kucing anda dan tahap tolak-ansurnya.
Kebanyakan kucing suka disikat, tapi ada juga yang menjelma kepada harimau jadian apabila melihat anda memegang sikat.
Kebaikan Menyikat Bulu Kucing
Kebanyakan kucing akan mendapat manfaat apabila disikat sekurang-kurangnya sekali seminggu. Bulu gugur yang anda buangkan semasa menyikat itu dapat mengurangkan cebisan bulu yang biasanya terdapat di seluruh bahagian rumah.
Jika anda membela kucing, pastinya anda tahu betapa lecehnya untuk membersihkan bulu-bulu kucing yang bertaburan di merata tempat.
Jika anda menyikat, sekurang-kurangnya ini dapat mengurangkan jumlah bulu itu, kerana ianya hanya terkumpul setempat, iaitu pada sikat anda dan bukannya di sofa atau baju anda.
Menyikat juga dapat mengurangkan bebola rambut, yang biasanya akan dimuntahkan oleh kucing. Selain itu, menyikat mengurangkan pembentukan bulu simpul, iaitu bulu berselirat pada lapisan bawah.
Bulu bersimpul ini akan menyakitkan kucing kerana kulitnya ditarik oleh simpulan itu, dan akan memerangkap kotoran serta lembapan yang membawa kepada penyakit kulit pula.
Untuk kes yang teruk, kita mungkin perlu mencukur keseluruhan bulu kucing yang biasanya dilakukan oleh pendandan di klinik.
Peralatan Menyikat
Mari kita lihat pula peralatan yang biasa digunakan untuk menyikat. Tidaklah wajib mempunyai kesemuanya, tapi setiap satunya mempunyai fungsi berbeza dan manfaat yang banyak jika kita menggunakannya.
1. Sikat
Sikat bergigi besi/dawai boleh digunakan sepanjang hayat kucing kita. Pastikan giginya licin, halus dan tumpul pada hujungnya untuk mengelak dari mencederakan kulit kucing.
Sisir yang halus digunakan untuk membuang kotoran dan juga kutu manakala yang jarang/kasar pula bagus digunakan untuk menyikat bulu panjang.
Ia juga boleh digunakan pada bulu sekitar kepala dan lain-lain tempat sensitif pada badan kucing. Sikat yang mempunyai dua kombinasi sederhana jarang dan halus adalah memadai untuk tujuan ini.
2. Berus
Berus yang mempunyai bulu kasar semulajadi adalah terbaik tetapi jenis nilon pun boleh. Cuma biasanya jenis nilon ini menghasilkan lebih banyak elektrostatik dan tidak berapa bagus untuk membuang bulu yang rosak atau patah.
Sejenis lagi berus iaitu berus pelicik juga bagus untuk sesi menyikat. Berus ini biasanya berbentuk segiempat pada bahagian muka dan mempunyai dawai pendek dan keras.
Ia sangat sesuai untuk kucing berbulu pendek dan berus ini bertindak seakan gerigi pada lidah kucing untuk membuang bulu yang sudah mati.
Terdapat juga berus pelicik yang mempunyai saiz ultra-pendek, atau berus yang dibuat daripada getah, khusus untuk kucing yang cenderung untuk kehilangan terlalu banyak bulu jika disikat terlalu kerap.
3. Sikat kutu
Sikat kutu adalah peralatan yang sepatutnya ada bagi setiap pemelihara kucing. Selain dari memerangkap kutu, ia juga boleh membuang kotoran, daki serta bulu yang gugur.
Disebabkan giginya yang sangat halus, ia perlu digunakan dengan berhati-hati supaya tidak melukakan kulit pula.
kucing saya suka disikat sewaktu sedang makan..
BalasPadamsusah betul nak dapat peralatan kucing di Temerloh ni...vet swasta pon takde...gi ke jabatan haiwan kalo nak berubat diorang pon x cukup ubat-ubatan...aduh...
BalasPadamthnx utk info ini ya =)...sangat berguna...
kasawari, kucing saya pun mcm tu (dulu la), tapi time tgh makan yg sedap2 je. hehe. kalau yg tak sedap, dia pusing, tgk dgn mata terkebil2.
BalasPadamfirdee, bukan kat Temerloh je, tempat lain pun sama. tak byk vet yg ada, kecuali bandar2 besar. ubat pun makin mahal sekarang huhu