Bagaimana Menyikat Bulu Kucing

3 ulasan
Kucing disikat bulunya

Adalah baik jika kita memperkenalkan sesi menyikat ini kepada anak kucing terutamanya yang baru di bawa pulang atau dibela. Mulakan dengan memberikan sikat itu kepadanya, biarkan dia menghidunya dahulu.

Kalau digigitnya sikat itu (biasanya anak kucing), biarkan sahaja supaya dia membiasakan dirinya dengan peralatan menyikat itu.

Secara perlahan-lahan, sikatkan kucing anda di sekitar leher dan belakang badan. Jika dia mendengus atau mencakar, cuba tenangkannya dengan bercakap dengan nada lembut. Jika perlu, mungkin anda memerlukan tali kekang untuk mendiamkannya semasa menyikat.

Melembabkan sikat dengan air (atau dilakukan selepas mandi) akan memudahkan kerja menyikat. Mulakan dari bahagian kepala menuju ke ekor (guna sikat halus-rapat), kemudian balikkan kucing untuk bahagian perut dan lipatan kaki.

Ulang pula dengan berus pelicik (berus dawai besi, mata pendek) untuk membuang bulu yang sudah mati.

Untuk permulaan, tetapkan sesi menyikat ini dalam masa yang singkat tetapi berulang-ulang. Misalnya 2 atau 3 kali menyikat sehari dengan 1 minit setiap sesi dengan menggunakan sikat yang lembut.

Ini semua bergantung kepada tahap toleransi kucing masing-masing. Kebiasaannya, walaupun kucing itu tidak mahu disikat, dengan latihan begini dia akan mula menikmatinya.

Anak kucing yang dilatih kebiasaannya akan lebih bertolak-ansur berbanding kucing dewasa. Lagipun adalah lebih senang mengendalikan 1/2 kg anak kucing berbanding 2 kg kucing dewasa.

Percayalah, adalah sangat berbaloi jika anda melatihnya ketika usia masih muda.

Jika anda menghadapi keadaan yang sukar untuk menyikat, mungkin anda perlukan bantuan orang lain untuk memegangnya.

Dengan memberikan upah makanan kepada kucing anda juga dapat membantu memujuknya, dan menggalakkannya supaya duduk diam semasa menyikat.

Sesetengah kucing juga suka disikat semasa makan. Makan dapat mengalihkan tumpuannya dan memberikan anda peluang untuk menyikat beberapa kali.

Tapi ada juga kucing yang tidak suka diganggu semasa mereka makan, maka kita perlulah menghormati kehendaknya.

Sikat Kutu

Bagi saya, peralatan yang sangat penting adalah sikat kutu, ianya mempunyai gigi yang rapat dan halus. Kebanyakannya mempunyai pemegang yang mudah dikendalikan, dan mempunyai gigi besi.

Kucing berbulu pendek dapat disikat dari kepala hingga ke ekornya dengan menggunakan sikat ini, tapi ia adalah terlalu halus jika kucing anda berbulu panjang.

Fungsi sikat kutu ini yang saya lihat adalah dua, iaitu untuk memeriksa kehadiran kutu dan untuk memeriksa keruping (penyakit kulit), kulit bersisik serta bulu gugur. Cuba sikat kucing anda menggunakan sikat ini, dan anda mungkin terkejut melihat begitu banyak bulu gugur yang terperangkap.

Ia juga boleh membuang bulu yang berselirat, begitu juga dengan kutu dan daki-dakinya.

Tetapi berhati-hati ya, kerana sikat kutu ini juga boleh memutuskan bulu jika tidak dikendalikan dengan baik. Ia juga menyakitkan jika diguna pada kucing berbulu panjang, atau kucing yang mengalami bulu simpul, dan jika gigi sikat itu bengkok, ia amat mudah melukakan kucing.

Bagaimana dengan kucing bulu panjang?

Bagi kucing berbulu panjang, sikat bergigi besi, sederhana padat atau kasar. Ada juga yang menggunakan berus yang mempunyai rerambut di hujungnya, tetapi sikat ini hanya dapat memberus bahagian atas bulu kucing dan membiarkan bulu yang berselirat di bawah.

Sikat besi yang lebih kasar juga diperlukan jika kucing anda mempunyai lapisan yang lebih panjang, terutamanya jika terdapat banyak bulu gugur yang terperangkap.

Satu cara untuk menenangkan kucing semasa menyikat adalah dengan memilih satu kawasan badannya untuk disikat, dan hanya sikat satu kawasan sahaja untuk sehari, atau beberapa hari.

Perlu juga diingat bahawa kucing yang cukup bertolak-ansur dengan sesi menyikat juga ada hadnya, dan anda perlulah berhenti dan menyambungnya semula pada keesokan hari pula.

Jika anda tidak berkongsi rencana ini
seekor kucing tidak akan dapat tidur nyenyak :(

© AlamKucing.com
Sila hormati dasar Hakcipta dan Penerbitan Semula kandungan laman ini.

3 ulasan:

  1. hai felis..
    ada org kate bg kucing yg berbulu panjang perlu disikat menyongsang iaitu dr ekor ke kepala...sy x pasti kenapa dia suruh buat mcm tu...nk bg bulu kucing tu kembang ke?

    * pasal perkembangan kitten sy tu kn...sy dh pulangkn kitten sy pd penjual semula, so tgh tunggu kitten br...harap2 kitten br x menjerit2 lg...huhu

    BalasPadam
  2. hi fida, betul la tu, kita sikat songsang (guna sikat jarang) utk betulkan balik mana2 bulu yg bersimpul. tak semestinya dari ekor ke kepala, cuma lawan arah alunan bulu tu. misalnya dari bawah perut ke atas.

    lepas tu berus dan sikat la bagi kemas balik, jgn la tinggal kembang camtu. huhu

    BalasPadam
  3. hai..saya ada 5 kucing..salah satu dari kucing saya mengalami masalah bulu gugur dan mata sering berair..lehernya juga kadangkala ada yg tercabut bulu..kwn saya cakap mungkin ada alahan tapi saya tak dpt pastikan kucing saya alah terhadap ape..yang sy peliknye jugak,kucing saya yg lain tak ada masalah mcm kucing tu..harap boleh tolong...

    BalasPadam