Bagaimana Menggembirakan Kucing Yang Bosan

7 ulasan
Kucing sedang kebosanan

Persekitaran dengan rangsangan yang baik dan keprihatinan terhadap keperluan kucing adalah faktor yang utama untuk menggembirakannya di rumah anda.

Jika anda mempunyai kucing luar rumah, dia akan menghabiskan kebanyakan masanya menghendap, memburu dan memakan binatang buruan.

Aktiviti sebegini akan memberikannya rangsangan mental dan cabaran kepada kucing. Ia juga memberikan senaman dan mengekalkan keadaan fizikal kucing.

Sediakan tiang cakar

Kucing akan mencakar sebagai satu cara untuk berkomunikasi secara visual dan bau, serta untuk memastikan kuku mereka berada dalam keadaan baik.

Berikan kucing anda sekurang-kurangnya satu tiang cakar yang tinggi, kukuh dan di lokasi yang menonjol. Jika dia tidak diberikan bahan dan pilihan lain untuk mencakar dan diajar untuk menggunakannya, mereka akan mula mencari objek lain di rumah anda, contohnya sofa.

Permainan memburu harta karun

Kucing dalam rumah tidak perlu bekerja untuk mendapatkan makanan, maka rasa bosan dan kegemukan akan cepat melanda.

Anda boleh cuba melatih kucing anda kemahiran tertentu dan berikan ganjaran dalam bentuk gayaan (makanan kecil). Anda juga boleh melemparkan gayaan itu dan biarkan dia mengejarnya.

Selain itu, letakkan beberapa makanan dalam kuantiti kecil di beberapa lokasi berbeza di dalam rumah dan biarkan dia meronda seluruh rumah untuk memakannya.

Aktiviti sebegini dapat mengelakkan rasa bosan dan memberi cabaran kepada kucing, sebagai satu rangsangan untuk menggembirakannya.

Sediakan pokok pemanjat kucing

Saya syorkan juga anda memiliki beberapa pokok pemanjat atau buatkan tiang-tiang di mana kucing boleh memanjat dan duduk di atasnya.

Kucing gemar melompat ke atas satu-satu benda dan memerhati dunianya dari sudut tinggi. Perilaku ini sama seperti harimau yang gemar berada di puncak tinggi, mengawasi jajahan takluknya dan memerhati binatang buruan.

Mewujudkan suasana begini di rumah akan dapat memuaskan naluri semulajadi kucing dan menghapuskan kebosanan.

Aktiviti melompat seperti ini mengekalkan keaktifannya dan menyediakan ruang pada kawasan tinggi dapat membolehkan mereka mempunyai tempat untuk bersantai serta menjauhkan diri daripada kucing lain, binatang lain atau manusia di dalam rumah.

Jika anda tinggal bersama lebih daripada dua ekor kucing, pokok pemanjat dapat memberikan ruang lebih besar kepada mereka, mewujudkan kawasan sempadan menegak dan mengurangkan tekanan akibat perkongsian ruang yang sempit.

Kucing yang gemar memanjat ini juga gemar untuk tidur di tempat yang tinggi. Tetapi awas jangan sampai terkena kipas siling!

Kebersihan bekas pasir dan kedudukannya

Saya masih tidak puas lagi menekankan betapa pentingnya lokasi bekas pasir dan penjagaan kebersihannya akan membuatkan kucing anda gembira. Bermurah hatilah untuk membeli dan menyediakan satu lagi bekas pasir tambahan.

Main bersama-sama

Walaupun kucing akan kurang bermain seiring dengan peningkatan usia namun bermain adalah salah satu komponen yang diperlukan untuk menjaga kesihatan mental kucing.

Kebanyakan kucing akan bermain dengan sendirinya apabila diberi alat mainan, tetapi bermain secara saling tindak tiap-tiap hari juga penting demi kesihatan mentalnya.

Bermain menghilangkan rasa jemu dan memberikan senaman. Ia melibatkan perilaku menghendap, mengejar, menerkam dan menggigit.

Jangan berputus asa dengan kucing yang nampak tidak berminat untuk bermain. Mainan tali yang diikat dengan bulu burung atau penunjuk laser dapat merangsang keinginan untuk bermain walaupun sedikit.

Burung dan ikan

Untuk menambah hiburan kucing anda, anda boleh menggantung penyuap makanan burung di luar rumah. Kucing akan teruja di tingkap apabila melihat burung-burung hinggap pada penyuap itu untuk mengambil makanan.

Selain itu anda boleh meletakkan akuarium dan kucing akan menghabiskan masa memerhati gerak-geri ikan di dalamnya.

Ini akan memberi rangsangan yang banyak kepada kucing yang teringin untuk memburu dan mengejar, malah kucing yang malas pun pasti akan membuka matanya melihat burung!

Kucing yang bosan akan menghabiskan waktunya dengan tidur sahaja dan ini pastinya tidak memberi manfaat kepada kesihatannya.

Memelihara seekor lagi kucing sebagai teman juga adalah salah satu cara untuk menggembirakannya kerana mereka dapat bermain sesama sendiri semasa ketiadaan anda di rumah.

Jika anda tidak berkongsi rencana ini
seekor kucing tidak akan dapat tidur nyenyak :(

© AlamKucing.com
Sila hormati dasar Hakcipta dan Penerbitan Semula kandungan laman ini.

7 ulasan:

  1. Salam,
    Saya bercadang membela seekor kucing betina untuk dijadikan teman bagi kucing jantan sy.Pada peringkat permulaan bolehkah kucing betina tadi dikurung bersama-sama teman barunya didalam satu sangkar?@ kita hanya perlu kurung bersama-sama utk tujuan mengawan shj....bagaimana kita boleh tahu kucing betina td sudah mula bunting&adakah kita kena pisahkan dgn kucing jantan td bila dia dah mula mengandung?berapa lama tempoh kandungan utk kucing?Bila anak2 kucing itu dilahirkan bolehkah kucing jantan diletakkan dlm kurungan yg sama..ada pendapat kata kucing jantan makan anak kucing??!! sorry byk sgt tanya.Hope persoalan diatas terungkai.TQ

    BalasPadam
  2. Saudara boleh melihat link ini berkenaan dengaan memelihara seekor lagi kucing sebagai kawan.

    saudara boleh membawanya ke vet utk mengesahkannya mengandung, biasanya dalam minggu ke-3 atau 4. Tanda-tanda biasa mengandung adalah selera makan dan berat bertambah, puting susunya timbul dan kemerah-merahan dan keadaan abdomen (perut) yang semakin membulat. Kucing hanya mengandung lebih kurang 9 minggu sahaja dan tidak banyak penjagaan yg perlu dilakukan melainkan penjagaan biasa-biasa shj.

    Tidak perlu mengurung kedua-dua kucing dalam satu sangkar. Ada juga kes anak kucing diserang kucing jantan tapi ianya jarang berlaku. Jika anda melihat tanda-tanda agresif, maka pengasingan adalah perlu. Biasanya ibu kucing akan menjadi sangat protective terhadap anaknya, termasuk juga kepada anda, apatah lg kepada kucing lain. Jadi jangan terkejut jika ibu kucing mendengus jika anda cuba memegang anaknya.

    Saudara perlu menyediakan tempat yang bersih dan selesa utknya melahir dan menjaga anak. Alas perlu ditukar tiap-tiap hari kerana anak kucing akan membuang najisnya di situ sahaja. Pastikan pengudaraan yg cukup, keadaan yg bersih dan selamat utknya.

    Mengendalikan anak-anak kucing mmg seronok, tapi ia juga dtg dengan tanggungjawab. Banyak kali saya melihat pemilik kucing yg teruja mahu mendapatkan anak-anak kucingtetapi kemudian membuangnya pula kerana tidak mampu menjaga dan menyediakan makanan yg cukup. Harap saudara tidak termasuk dlm golongan ini. Apa pun, sy ucapkan tahniah dan selamat berjaya kepada anda !

    BalasPadam
  3. hi comel kucingnya,

    BalasPadam
  4. Hi Feliscatus,
    I would like to thank you so much for your opinion on my Tiger and Tyra a few months ago. FYI,No I had 4 kittens from them(I didn't use the cat sex education video for them)hahaha....
    Now,I just need to know is it okay to use catnip/catmints for my tiger as their fun times? Is there any side effect for the cat?

    BalasPadam
  5. Hi Again Feliscatus,
    Thank you so much for your help..Yup, i do know that only certain cat are not attracted same like their big brother the lion..anyway, i will try on Tiger soon...
    Thanks once again...

    BalasPadam
  6. kucing yg terlalu manja pula bagaimana...yg sering berada dgn kita sepanjang masa...selalu mangambil perhatian...dan kacau kita diwaktu tidur...tapi saya x sampai hati untuk letak nya di tempat lain..kesian kat dia...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Awak main dengannya sampai dia keletihan kerana dia perlukan rangsangan.

      Padam