Menggunakan air kencing untuk menanda kawasan adalah berbeza dengan melepaskan air kencing untuk kelegaan diri. Pendekatan yang berbeza diperlukan berbanding kaedah yang digunakan untuk memujuk kucing anda menggunakan bekas pasir.
Penyemburan merupakan salah satu cara kucing berhubung antara satu sama lain. Ia hancing dan tengik kepada manusia tetapi harum dan bermaklumat kepada kucing lain. Ia ibarat surat-menyurat atau sistem pesanan ringkas yang diamalkan sesama manusia.
** Dikemaskini semula pada Jun 2015 mengikut peredaran masa **
Kucing yang menanda kawasan akan membelakangi objek itu dan menyemburkan air kencing dengan ekornya diangkat tinggi serta badan bergetar, mengalihkan beban badannya pada kaki belakang, sebelah menyebelah. Perlakuan sebegini dipanggil penyemburan.
Walaupun kedua-dua jantina menanda kawasan, kucing jantan adalah yang biasa melakukannya, diikuti kucing betina ketika musim mengawan.
Ia juga cara untuk kucing betina mengiklankan diri bahawa ia mahukan pasangan mengawan terhadap kucing lain. Bahan feromon yang terkandung di dalam air kencing memberitahu bahawa kucing betina itu bersedia untuk menerima kucing jantan.
Bau air kencing yang disemburkan untuk tandaan kawasan juga berbeza berbanding air kencing biasa. Semburan biasanya berbau lebih hancing disertai dengan bauan tajam dan pedas.
Aturan pertama untuk menghadapi masalah ini adalah memastikan kucing anda dikembirikan. Prosedur ini menyelesaikan hampir 90% masalah sebegini, jika ia dilakukan sebelum kematangan seksual, iaitu kira-kira umur 6 bulan.
Jika kucing anda masih melakukannya walaupun telah dikasi, ada kemungkinan ia berpunca daripada tekanan persekitaran. Kehadiran orang baru, atau kucing jiran dalam halaman rumah, mampu menyebabkan masalah ini berlaku.
Anda boleh cuba membasuh kawasan yang ditanda dan menutupnya dengan kertas aluminium, kerana kucing tidak suka dengan bunyi yang kedengaran bila air kencingnya disembur terhadapnya.
Jangan pukul kucing anda walaupun anda menyaksikan sendiri kejadian itu. Memukulnya hanya akan membuatkan kucing anda berasa tidak selamat dan akan menyebabkan dia menanda lebih banyak kawasan.
kucing ni bagus jgak dpt kenal pasti yg bini kite ade org lain ke tak,nak bela sekor la...
BalasPadam