Menyiasat Pembuangan Najis Kucing Tak Wajar

Tinggalkan Ulasan
Najis kucing di luar bekas pasir

Ramai orang melihat pembuangan tak-wajar sebagai satu masalah. Sebenarnya ia berpotensi sebagai beberapa masalah, bukan hanya satu.

Ia juga mungkin berkait di antara satu sama lain, atau mungkin juga tidak. Perilaku paling asas adalah kucing itu mahu menanda kawasan dan kucing yang meluahkan rasa tidak puas hati atau kurang senang menggunakan bekas pasir.

** Dikemaskini semula pada Disember 2014 mengikut peredaran masa **

Pertamanya, anda perlu memerhati apa yang kucing anda lakukan, adakah ia menanda kawasan atau menjauhi bekas pasir, sebelum memulakan langkah membaikpulih situasi ini.

Sediakan buku nota

Cara ini mungkin lucu, tetapi ianya berkesan. Buatkan satu jurnal berkenaan 'pelaburan' kucing anda.

Buku nota biasa pun memadai di mana anda mencatatkan masa dan tarikh, apa yang anda jumpai (kencing atau najis), di mana anda jumpai (permukaan mendatar atau dalam kes air kencing, permukaan menegak, seperti bahagian tepi sofa anda) dan lokasi pembuangan itu (dalam bilik air, himpunan baju, sebelah bekas pasir).

Mengambil nota bukan sahaja membantu anda mengesan masalah sebenar dan bagaimana menghadapinya, malah ia juga membantu anda mengesan walaupun tanda-tanda kecil kemajuan situasi ini.

Paling penting, rekod bertulis juga membantu doktor mendapat maklumat yang diperlukan untuk mendiagnos sebarang masalah penyakit.

Apa yang dibuang, dan di mana?

Kebanyakan binatang, kencing dan tahi adalah sama pertimbangannya baik penandaan kawasan ataupun sekadar membuangnya daripada badan.

Anjing yang mengangkat sebelah kakinya pada setiap perabot dan penjuru rumah, misalnya, sedang menanda beberapa kawasan dan meletakkan pesanan tertentu. Ini berbeza dengan anjing yang mengangkat sebelah kaki sekali sahaja dan membiarkan kencingnya keluar dengan banyak.

Situasi pertama itu melibatkan penandaan kawasan. Situasi kedua itu anjing tersebut tidak memahami di mana dia dibenarkan untuk melegakan kencingnya, atau dia dihalang untuk kencing di tempat yang dibenarkan, atau kedua-duanya sekali.

Senario yang sama juga berlaku terhadap kucing, terutamanya kucing jantan yang tidak dikembirikan. Kadangkala kucing hanya melegakan dirinya sendiri, kadangkala pula ia sedang memberi pesanan tertentu.

Perbezaannya ialah lokasi dan keadaan buangannya. Di mana pembuangannya, dan apakah yang berlaku pada persekitaran kucing itu?

Mengenali tanda 'Aku nak buang dah ni'

Kucing yang hanya melegakan dirinya pada tempat yang sepatutnya akan melepaskan buangannya pada permukaan rata.

Jika anda nampak dia melepaskan kencing, anda akan perasan bahawa dia mencangkung. Mencangkung adalah perilaku yang berbeza berbanding yang menanda kawasan.

Jika anda mendapati kucing anda melakukan buangan rata, walaupun permukaan yang melengkung seperti bahagian dalam sinki, anda mempunyai kucing yang sedang melepaskan hajatnya, di tempat yang tidak sesuai dan bukannya menanda kawasan.

Mengenali tanda 'Aku ada perkara nak disampaikan'

Kucing yang menanda kawasan, atau penyemburan, mengambil pendekatan yang jauh berbeza berbanding pelepasan kencing yang biasa.

Kucing akan mula menghidu objek yang difokuskan, kemudian membelakanginya. Dengan ekornya diangkat tinggi dan badannya bergetar, dia melepaskan kencingnya sedikit ke arah permukaan tadi.

Kadangkala dia memindahkan berat badannya ke bahagian kaki belakang sebelah menyebelah semasa dia menyemburkan kencingnya.

Semua kucing samada jantan atau betina berpotensi menanda kawasan namun kucing jantan adalah yang paling banyak melakukannya.

Bagaimana pula dengan tahi?

Tidak terlalu sukar untuk memahami apa yang berlaku melalui keadaan air kencing, tompok basah pada permukaan mendatar dan perbuatan mencangkung adalah tanda kucing melegakan dirinya.

Manakala tompok basah pada permukaan menegak dan kedudukan berdiri adalah tanda kucing meletakkan batu sempadan kawasannya. Tapi bagaimana pula dengan hadiah ketulan-ketulan kecil itu? Apakah maksudnya?

Walaupun ada sesetengah kucing yang menggunakan najis tidak terlingkup sebagai tanda kawasan, ianya lebih kepada tanda kucing itu sebenarnya menjauhi bekas pasir.

Siapa Dalangnya?

Disebabkan ramai orang berkongsi kehidupan dengan lebih dari seekor kucing, sukar untuk memastikan siapa yang melepaskan hajatnya di tempat yang tidak sepatutnya.

Sesetengah orang memberi cadangan agar mengasingkan setiap kucing, satu demi satu dalam satu bilik yang selamat. Namun kaedah ini mungkin tidak akan berjaya jika puncanya adalah pertelingkahan di antara kucing.

Dalang itu mungkin akan memberi reaksi positif terhadap pengasingan ini dan berhenti daripada membuang merata-rata, dan apabila kucing-kucing itu bersama semula masalah itu akan timbul kembali.

Dan anda masih tidak mengetahui siapakah yang bertanggungjawab.

Caranya ialah gunakan pewarna makanan yang biasa. Titiskan beberapa pewarna makanan biru atau hijau ke dalam mulut kucing sebelum memberinya makanan. Ketulan tahi yang terhasil sepatutnya akan kelihatan lebih gelap berbanding kucing lain.

Untuk kencing pula, memang sukar untuk mengetahui kucing manakah yang melakukannya.

Jika anda tidak berkongsi rencana ini
seekor kucing tidak akan dapat tidur nyenyak :(

© AlamKucing.com
Sila hormati dasar Hakcipta dan Penerbitan Semula kandungan laman ini.

0 ulasan:

Catat Ulasan