Kita membuat begitu banyak permintaan terhadap kucing apabila kita membawanya pulang ke rumah.
Kebanyakan situasi, ia dapat dikendalikan dengan baik, begitu juga perihal kekuatan kasih sayang yang dibina antara manusia dan kucing.
Kita meminta supaya kucing melegakan dirinya di tempat yang kita mahu berbanding di tempat lain dalam kawasannya.
Kita meminta kucing mencakar di satu tempat sahaja berbanding di mana-mana permukaan yang dia suka. Kita meminta kucing mengabaikan kebolehannya melompat ke atas meja dan kaunter dapur.
Kita juga turut memintanya mengubahsuai jadual semulajadinya yang aktif pada waktu malam kepada aktif pada waktu siang untuk diselaraskan dengan hidup kita.
** Dikemaskini semula pada Jun 2015 mengikut peredaran masa **
Kebanyakan kucing akan bertolak-ansur terhadap semua permintaan kita di atas. Jika ada yang tidak, anda perlu mengenalpasti dahulu puncanya sebelum kaedah penyelesaian dilaksanakan. Ini adalah lima perkara utama yang perlu dipertimbangkan:
1. Masalah kesihatan
Sepertimana yang saya sentiasa tekankan, masalah perilaku biasanya adalah tanda atau tanda awal kesakitan. Kucing yang mempunyai diabetes dan tidak dirawat, misalnya akan minum dan kencing lebih daripada biasa, dan ini akan meletihkan anda kerana terpaksa membersihkan bekas pasirnya lebih kerap.
Bila tidak dibersihkan, kucing anda akan mula mencari tempat lain untuk melegakannya. Kucing yang tiba-tiba mula menggigit mungkin sedang berada dalam kesakitan dan perilaku menggigit itu hanyalah untuk mempertahankan dirinya.
Kucing yang mempunyai masalah jangkitan kuman pada salur kencing pula akan mengalami kesakitan yang amat sangat untuk kencing dan pada fikirannya ia menganggap kesakitan itu berpunca daripada bekas pasirnya lalu berhenti menggunakannya.
Perlukah anda begitu terkejut jika dia berhenti menggunakannya? Segala kaedah mengendali masalah perilaku ini tidak akan berjaya jika puncanya adalah masalah kesihatan. Anda mesti mendapatkan bantuan klinik dalam hal ini.
2. Tekanan
Kucing akan mengalami tekanan jika ada perubahan pada persekitarannya dan akan bertindakbalas dengan mengubah tabiatnya untuk berhadapan dengan perubahan itu.
Mungkin kucing menanda kawasannya pada perabot rumah kerana ia telah dicerobohi oleh binatang peliharaan baru atau orang baru.
Dalam dunia kucing, perilaku sebegini adalah wajar dan menenangkan mereka. Menjadikan dunia mereka dikelilingi bau yang mereka sukai amat mententeramkan mereka, walaupun tidak bagi anda.
Anda perlu menenangkan tekanan mereka dengan beberapa kaedah, yang pernah dibincangkan sebelum ini.
3. Permintaan yang melampau
Anda perlu melihat diri anda sendiri samada anda adalah punca kepada masalah perilaku. Adakah anda meminta sesuatu daripada kucing anda yang mustahil diberikannya?
Kucing anda mungkin tidak akan menggunakan bekas pasir yang anda berikan jika anda jarang membersihkannya.
Atau anda memintanya agar tidak mencakar pada kerusi tetapi dalam masa yang sama tiada apa di dalam rumah yang anda sediakan sebagai pilihan kepadanya untuk mencakar.
Anda perlu memberikannya alternatif lain sebelum mengharap kepada perilaku yang menyenangkan anda.
4. Kebosanan
Anda meminta kucing anda melepaskan dunia dan seluruh isinya dan apa yang anda berikan kepadanya hanyalah beberapa jam menemaninya dan satu tikus mainan? Membosankan!
Kucing dalam rumah memerlukan banyak benda untuk menggembirakan mereka. Mereka memerlukan banyak mainan, tempat memanjat, melompat, menyorok, mencakar dan perhatian daripada anda.
Memiliki seekor lagi kucing mungkin dapat menyelesaikan masalah ini kerana kucing anda mempunyai teman bermain.
5. Latihan yang terlalu keras
Jangan mengharap kucing anda dapat melakukan latihan yang anda beri itu secara serta-merta. Jika anda hanyalah menjerit dan memukul kucing anda, anda tidak akan mengajarnya apa-apa selain daripada memberitahunya bahawa anda adalah orang yang perlu mereka jauhi.
Disiplin fizikal tiada tempat dalam dunia kucing untuk mengubah perilakunya, kucing tidak akan memahaminya. Dan menggunakan kekerasan fizikal hanya akan menambah tekanannya yang akan membawa masalah lebih buruk.
0 ulasan:
Catat Ulasan