Bagaimana Mengubah Tabiat Harian Kucing

Tinggalkan Ulasan
Bagaimana mengubah tabiat kucing

Tidak sepertimana anjing, kucing tidak mempunyai mekanisme untuk bekerjasama dalam satu keluarga. Anjing secara semulajadi memahami konsep keluarga, kerana moyangnya hidup dan memburu dalam kerjasama pasukan yang dibina melalui struktur masyarakat yang rumit, dipanggil sebagai kawanan.

** Dikemaskini semula pada Disember 2014 mengikut peredaran masa **

Dengan pengecualian terhadap singa, semua keluarga kucing samada besar atau kecil merupakan pemburu tunggal dan mereka sudah biasa menjaga diri mereka sendiri secara bersendirian.

Anda tidak boleh memaksa mereka melakukan sesuatu yang mereka tidak mahu. Jadi jika anda mahu mengubah perilaku mereka, anda perlu menawarkan suatu pilihan yang dapat diterima oleh anda dan kucing anda.

Kucing anda menyayangi anda dan gembira ditemani oleh anda tapi jika anda mahu meyakinkannya untuk melakukan sesuatu itu mengikut cara anda, anda perlu menjawab soalan yang sangat-sangat penting bagi kucing iaitu, Apa ganjarannya untuk aku?

Berita baiknya adalah kucing merupakan binatang bertabiat dan mempunyai rutin.

Setelah kucing anda memahami di mana tempat yang dibenarkan untuk mencakar, mengunyah atau membuang air, anda boleh menyimpan semua peralatan-peralatan khas yang digunakan untuk meyakinkan mereka itu pada awalnya.

Ya, Comel!

Berikan ganjaran kepada kucing anda terhadap perilaku baik mereka dengan makanan, mainan atau belaian. Jika kucing anda menggunakan tiang pencakar berbanding sofa, pastikan mereka tahu yang anda menyetujui tindakan mereka dengan bermain menggunakan joran kucing atau mainan yang diikat dengan tali.

Beritahu mereka yang mereka baik kerana menggunakan bekas pasir dan menggigit mainan mereka berbanding selipar anda.

Kucing anda tidak dilahirkan dengan mengetahui segala peraturan di rumah anda dan jika anda menetapkan peraturan itu menyenangkan perasaan kucing, anda mempunyai banyak peluang untuk membuatkan dia mengikuti peraturan tersebut.

Jangan, Comel!

Jangan sesekali memukul kucing anda dan jangan buat mereka berfikir setiap kelakuan disiplin itu datang daripada anda. Disiplin fizikal adalah perkara yang sangat teruk dan tidak membawa apa-apa makna bagi kucing.

Malah ia hanya membuatkan situasi bertambah buruk dengan menjadikan kucing anda mengalami tekanan dan takut dengan anda.

Apa yang berkesan bagi kucing adalah dengan membuatkan mereka percaya bahawa tindakan salah mereka itu menyebabkan tindakbalas automatik yang mereka tidak suka, dan anda tidak ada kaitan langsung dengannya, setakat yang mereka tahulah.

Sofa yang mereka suka cakar itu kini di alas dengan sesuatu yang mereka tidak suka sentuh. Apabila mereka duduk di kaunter dapur mereka berasa ada kesan elektrostatik yang tidak digemari pada tapak kaki mereka atau tiba-tiba ada semburan air diarah kepada mereka.

Berikut adalah beberapa jerangkap samar yang sangat berkesan untuk menjauhkan kucing anda melakukan beberapa tabiat dan membolehkan anda berdua hidup harmoni:

Gunakan air dan bunyi bising

Secara licik, anda sembur kucing anda menggunakan botol penyembur air atau bunyikan hon, atau goncangkan duit syiling dengan kuat di dalam botol tin kosong, atau picitkan mainan yang berbunyi apabila dipenyek.

Kucing tak suka bunyi itu tapi jangan guna alat ini jika kawasan rumah anda mempunyai anjing, kerana anjing menyukainya!

Gunakan peralatan tersebut ketika kucing anda melakukan tabiat buruk, seperti menggigit sofa, mencakar perabot dan sebagainya.

Kucing anda haiwan yang mempunyai rutin dan dia akan mempelajari bahawa mencakar langsir adalah perkara yang perlu dijauhi kerana ada bunyi hon yang bising jika dia melakukannya.

Pastikan anda menyorok atau pastikan dia tidak tahu anda yang melakukan ini semua. Biar mereka fikir bahawa ini semua berlaku secara automatik.

Gunakan pengalas

Alas sesuatu pada kawasan yang anda tidak mahu kucing anda berada dengan menggunakan pita pelekat dwipermukaan atau pita pelekat biasa. Tikar elektrik yang memberikan kesan elektrostatik kecil juga bagus digunakan untuk permukaan perabot ,kaunter atau meja.

Perangkap tikus kayu

Perangkap tikus jenis kayu juga alat bagus untuk memberikan mesej kepada kucing anda agar tidak mendekati sesuatu tempat. Gunakan perangkap yang tiada gerigi tajam dan letakkan secara terbalik, di mana permukaan kayu itu menghadap ke atas.

Letakkan di atas permukaan meja atau dapur dan tutupkan dengan suratkhabar. Alat ini bukan untuk mencederakan atau memerangkap, hanya sekadar membuat kucing terkejut sahaja.

Selepas kucing anda terserempak dengan perangkap ini, dan terkejut melihatkan perangkap itu melompat dan tertutup dengan sekelip mata, sudah cukup untuk membuatkannya berfikir bahawa tempat ini perlu dijauhi.

Letakkan sesuatu yang berbau busuk

Letakkan sedikit sos atau limau pada pengalas atau piring di tempat yang anda tidak mahu kucing anda berada. Ia juga berguna untuk mengelakkan kucing anda mengunyah wayar elektrik. Anda tidak perlu meletakkan terlalu banyak, deria rasa dan bau kucing anda sangat tinggi!

Jika anda tidak berkongsi rencana ini
seekor kucing tidak akan dapat tidur nyenyak :(

© AlamKucing.com
Sila hormati dasar Hakcipta dan Penerbitan Semula kandungan laman ini.

0 ulasan:

Catat Ulasan