Anda perlu melakukan sedikit penyiasatan ala Jefri Zain untuk mengetahui punca mengapa kucing anda menggigit atau mencakar anda.
** Catatan ini dikemaskini semula pada Disember 2014 mengikut peredaran masa **
Sikap agresif ini datang daripada pelbagai punca, dan kaedah penyelesaiannya juga bergantung kepada punca tersebut. Berikut adalah beberapa punca biasa kucing anda mengganas.
Takut atau Sakit
Jika kucing anda menyerang kerana dia ketakutan atau menderita kecederaan, cara terbaik ialah berikan ruang dan tinggalkan kucing anda bersendirian seketika dan melihat semula asas-asas masalah ini.
Kucing yang kesakitan atau ketakutan akan meletakkan telinganya pada kedudukan mendatar rapat ke kepala dan terarah ke belakang.
Badannya juga akan berada dalam keadaan bertahan di mana dia mendatar dan rapat ke tanah, kukunya akan terkeluar dalam keadaan bersedia untuk menerkam pada bila-bila masa, jika terpaksa.
Jika kucing anda berada dalam posisi ini, dia sedang berkata kepada anda, "Jangan rapat dengan aku!" Anda perlu membiarkan kucing anda tenang dahulu, elok juga anda menyorok atau keluar dari bilik, sebelum menjenguknya kemudian.
Kebiasaannya juga, peti pengusung yang sebelum ini dibenci oleh kucing anda akan kelihatan seperti tempat yang selesa baginya. Letakkan pengusung itu dengan pintunya terbuka luas di dalam bilik di mana kucing anda berada.
Jarakkan diri anda daripadanya dengan cara menyorok atau keluar dari bilik. Kucing anda akan memilih untuk pergi dan masuk ke dalam pengangkut tersebut atas kehendaknya sendiri.
Ini akan menjimatkan masa dan tenaga anda berbanding anda memaksa kucing anda untuk masuk ke dalam pengangkut untuk di bawa ke klinik. Jangan berlawan dengan kucing anda, anda akan kalah.
Lebihan rangsangan
Anda sedang membelai kucing anda dan tiba-tiba dia mencengkam anda dengan gigi dan kukunya. Bukanlah suatu serangan penuh tapi anda tetap dapat merasai bisa ketajaman giginya pada bahagian tangan anda. Apa yang perlu anda buat?
Cara mudah adalah jangan bergerak. Jangan menentangnya atau anda akan mendorongnya untuk melakukan gigitan sebenar.
Kadangkala jika anda menggunakan tangan anda yang lagi satu untuk menghentak pada permukaan keras seperti meja atau lantai akan membuatnya terkejut dan melepaskan cengkamannya.
Namun jika anda berdiam diri, kebiasaannya dia akan bertenang dan melepaskan anda.
Itu adalah antara penyelesaian jika anda mengalami fasa serangan. Pilihan yang lebih baik adalah anda sendiri perlu membiasakan diri dengan kucing anda dan memahami bahasa tubuhnya, dan menghentikan belaian atau usapan sebelum dia mengalami lebihan rangsangan.
Kita sering mengatakan bahawa serangan sebegitu datang tanpa amaran, namun adakalanya kita terlepas pandang beberapa tanda yang menunjukkan kucing tersebut sudah tak tahan atau tak dapat terima belaian anda.
Tanda paling jelas adalah pada ekornya. Jika kucing anda mula menyentak-nyentak ekornya dengan keras, maka ini menunjukkan sudah tiba masanya anda menghentikan usapan.
Saya akan cuba pergi lebih mendalam berkenaan tanda-tanda ini di masa akan datang. Anda boleh secara sedikit demi sedikit membina masa belaian kucing anda. 3 kali usap, kemudian 4 dan kemudian 5.
Jangan berlebih-lebihan kerana tolak-ansur kucing anda akan dapat dibina dari masa ke semasa.
Usap Perut Kucing Membawa 'Kelucahan'
Kebiasaannya juga serangan 'aku dah tak tahan!' ini datang kerana anda mengusap bahagian perut kucing.
Bahagian ini adalah sensitif terhadap kucing dan walaupun ia kelihatan seakan bergulingkan badan menawarkannya kepada anda adalah lebih baik anda mengusapnya di bahagian lain.
Salah satu sebabnya adalah naluri dan fitrah seksualnya. Kucing jantan anda akan didatangi rasa ghairah jika perutnya diusap dan akan bertindakbalas dengan menggigit kerana itu adalah reaksi semulajadi keturunan kucing apabila melibatkan perilaku mengawan.
Ini tidak bermakna anda tidak boleh mengusap langsung perutnya. Cuma anda juga perlu tahu tindakan ini boleh membangkitkan gelora batin terhadap kucing jantan dan biasanya disusuli gigitan.
Permainan Agresif
Adalah perkara biasa kucing menggigit dan mencakar ketika bermain. Memanglah sakit, tapi kucing yang menggigit kaki anda dan kemudian mengiringkan badannya pada dinding bukanlah mahu mencederakan anda, dia hanya mahu bermain dengan anda.
Anda perlu menambah sesi bermain dengan menyediakan alat permainan yang sesuai seperti joran kucing atau mainan yang diikat pada tali, dan bukannya dengan bahagian tubuh badan anda untuk membantu kucing anda membakar lebihan tenaganya sebelum anda mencuba sesi belaian dengan tenang.
Biar kucing anda tahu bahawa serangan ke atas bahagian badan anda itu adalah dilarang dengan membunyikan hon atau sedikit semburan air yang halus. Jangan memukul kucing anda sama sekali.
Keagresifan Alihan
Kucing anda terlihat kucing lain atau binatang penceroboh, melalui tingkap rumah anda. Dia tidak dapat keluar dan sangat marah, kebetulan anda lalu berdekatannya dan dia menyerang anda. Kenapa?
Anda hanyalah mangsa situasi keagresifan alihan. Pernahkah anda marahkan seseorang di pejabat, kemudian balik ke rumah dan anda menghempas beg atau barang-barang anda ke lantai?
Beg itu tidak bersalah, tapi anda lepaskan kemarahan anda pada beg. Situasi sama berlaku pada kucing, dan ini agak sukar untuk diatasi.
Cuba halau kucing lain dari mendekati rumah anda, hentakkan tangan anda pada tingkap atau bunyikan hon. Ingat, jangan gunakan kekerasan fizikal untuk menghalau kucing lain!
anak kucen saya garang, slalu geget kaki huhuhu
BalasPadamHi Anonymous,
BalasPadamAnak kucing tu berapa umurnya? Ada ibunya tak? Biasa anak kucing yang tidak dipimpin oleh ibunya akan cenderung untuk main gigit-gigit kaki ni.
Cuba berikan alatan permainan dan turut sama bermain secara interaktif dengan anak kucing tu. Setiap kali dia gigit kaki, tepuk tangan pada lantai atau permukaan meja supaya dia terkejut dan melepaskan gigitan (jangan tepuk kucing tu pulak tau).
Atau bunyikan air horn jika di amula menggigit. Jnagan lupa untuk puji dan usap jika dia memilih untuk bermain dengan alatan permainan berbanding kaki saudara/i.
Anak kucing biasanya lebih mudah untuk dibentuk berbanding kucing dewasa. Selamat mencuba :)
kucing sy nama dia lulu dan bermumur 8 bulan..dia anak yatim sejak dari kecil lagi..dan tak pernah nampak kucing lain..(koz saya dok flat tingkat lima dan tak pernah bawak turun atau jumpa kucing lain..)huhuhu..
BalasPadamDan melalui pembacaan saya dari blog ni..memang betul..lulu ni sangat garang! setiap minggu saya dan adik beradik saya yg bermain dengannya kompom akan berdarah tangan atau kaki kerana gegetan dan cakarannya..dan saya akan mengetuk kepalanya kerana kenakalannya..huhu..
Terima kasih kerana terjumpa blog ni..terasa menyesal lak wat camtu kat dia..sowi lulu..
Dulu anak kucing saya yang bernama BOBO juga sangat garang. Memang saya amat takut bila ia dah kembangkan bulu dan merenung saya. Pandai merenung lagi...betul oo..maybe bersedia nak menerkam saya!
BalasPadamTapi tak selalu,sebab Bobo ni ada masa2 tertentu ja bersikap garang.Sebab utama adalah nak keluar dari rumahlah.Bila Bobo dah berbunyi semacam,satu ja saya leh buat.Buka pintu dan free kan ia....
erk. pernah kne, konon nak tenteramakan die (die nampak kucing laen lua uma) alih2 kaki yg jadi mangsa. trus b'parot smpi skrng. wuu~
BalasPadamklu tade hon, gne pnyembur air pon bole. tp kecikkn mate pnyembur tu spya die ta sakit. :)
kucing sy nmenye intan, sjak die mngndung ni, die jd agresif jer..kdg2 kite x wat pe pun dier ngap jugak..Tp mse die mngandung yg dlu x mcm ni pun, yg mngndung kli ni plak dier tbe2 jd gresif..sy igt die meroyan la sbb ank die yg dlu tu sekor kne lggr, 2 ekor lg mhlgkn dri~
BalasPadamsalam admin.. saya nak tanya sikit..kucing sy namenye didi,hampir setahun jage dy..then 3hari yg lepas sy bawa balik seekor lg kucing namenye snowy..didi marah2 sbb saya bawa balik snowy..bile sy belai dy mule merungut xberhenti..tak tahu nak buat mcm mane lg..boleh admin bg pendapat pasal hal ni..
BalasPadamSaya mencari sebab knp kucing saya marah tiba2, then saya jmpa. Thanks.
BalasPadamkucing aku dah besar...sblm ni tak letakkan dalam sangkar sbb dia sentiasa ada di rumah..beberapa bulan ni pulak terpaksa letakkan dalam sngkar sebb dia dah mula berjalan jauh dan asyik bergaduh, baru-baru ni saya begi dia lepak di luar sangkar tapi dia terus terkam saya dengan sangat agresif...
BalasPadamkenapa kucing saya selalu bergaduh dengan adik dia sedang kan adik die x buat apa apa pun??
BalasPadam